Monday, April 23, 2012

Love you

Waa... da berapa ari layan Drunken to Love You... kisah comedy romantic. Memang best. Fully recommended untuk sesiapa yg nak ketawa, nak senyum n at d same time nak nangis. Walaupun daku tidak menangis tetapi I'm ery touched actually by Rainy Yang. Bila dia nangis aku pun rasa nak ikut nangis. Tapi aku ni agak ego orangnya. Brutal kekonon. So, mana main nangis-nangis ni. Tak macho la jawabnya.


Oh, banyak sungguh part romantic lam citer ni. Part romanctic bukan maksud juz peluk2 okey... but something like makan eskrem together and other things. So, sweet. Maybe I can create more romantic scene in my novel. Need to think harder to create a romantic scene. Huwawawa...

Mood sekarang ni xsabau nak gi jumpa my beloved. Want to hangout, spend some romantic time together. Boleh ke kalau main game street fighter sesama dikira romantic? Haha. But it's totally fun except that I always let him be the winner okey. Hahaha. And also can't wait to see Elin Nadia n Liyana Zahim kat PWTC nanti. And then thinking to prepare something for the readers who meet me there. Huhu.

Thursday, April 19, 2012

AYKC 9,10 & 11

Bab 9


RAK kecil miliknya dibuka lalu kain batik dicapainya. Kalau di kampung, Hans selalu berkain batik. Benar-benar kelihatan seperti gadis desa. Tergeleng-geleng kepalanya melihat Hannedda yang masih tidur pulas. Sudah puas dikejutkan, namun langsung tidak diendahkan. Datang bulan agaknya. Itu yang tak nak bangun subuh walaupun sudah berkali-kali dipanggil.


Jendela dikuak untuk menyaksikan suasana pagi yang indah. Hans menghirup udara pagi yang segar. Lain benar terasa. Riuh bunyi ayam berkokok menyapa pendengarannya. Dia benar-benar rindukan kehidupan di kampung. Suasananya nyata berbeza dengan bandar besar seperti Shah Alam.


Puas menikmati suasana pagi, dia bergegas ke dapur. Dia perlu menyediakan sarapan. Kalau tidak, mahu bising mulut emaknya membebel. Pasti berbirat lagi hatinya dengan kata-kata emak nanti. Kalaupun emaknya tidak bising, dia tetap akan menyediakan sarapan kerana dia tahu akan tanggungjawabnya sebagai anak.


Sememangnya kalau dia pulang ke kampung, emak akan menyerahkan tugas bulat-bulat kepadanya. Dialah yang mengemas dan dialah yang akan memasak. Namun dia tidak pernah ambil hati. Baginya, apalah salahnya dia melakukan semua itu. Takkanlah dia mahu melihat emak yang sudah tua melakukannya sedangkan dia duduk bergoyang kaki?


***

AROMA nasi goreng kampung yang enak menarik perhatian Encik Hamdan. Tentu anak keduanya yang sedang memasak. Kalau isterinya yang memasak, tidak akan seharum begini. Lain benar air tangan anaknya kalau hendak dibezakan dengan isterinya. Laju kakinya menuju ke dapur.


“Lambat lagi ke nak siap tu? Ayah dah lapar ni.”


Mahu terlepas mangkuk besar di tangan disergah begitu. Hans langsung tidak sedar akan kehadiran ayahnya. Seketika dia mengurut-urut dada. Dipandang wajah ayah yang dirindui. Semalam ayah pulang lewat. Dia yang kepenatan sudah tertidur awal, tidak sempat bertemu dengan ayahnya.


“Dah siap ni, ayah. Ayah duduk dulu, kejap lagi Nissa hidang kat depan,” beritahunya lembut.


“Hmm...” Hanya itu jawapan Encik Hamdan kemudian berlalu ke ruang tamu.


Hans tersenyum nipis. Dia tahu ayah juga membencinya. Layanan yang diberikan kepada abang dan adiknya sangat berbeza berbanding dengan dirinya. Hanya layanan dingin yang diterima. Namun sekurang-kurangnya, mulut ayah tidak pernah mengeluarkan kata-kata berbisa buatnya.


Teh tarik pekat kegemaran ayah sudah siap dibancuh. Dia menatang dulang berisi teh tarik dan nasi goreng kampung menuju ke ruang tamu. Lalu dihidangkan di atas meja makan kecil tempat mereka lima beranak selalu menjamu selera. Ayahnya yang sedang berdiri di muka pintu dirapati. Tangan tua itu diraih lalu disalami dan dicium hormat.


“Semalam Nissa tertidur, tak sempat nak salam ayah. Nissa dah siap hidang. Ayah makanlah. Nissa nak panggil mak.” Encik Hamdan hanya mengangguk.


Pintu bilik emak diketuk perlahan. “Mak... mak...” serunya lembut. Pintu bilik sudah terkuak dan wajah tidak senang Puan Amina terjengul di balik pintu.


“Kau nak apa ni? Pagi-pagi lagi dah mengacau hidup aku.” Dengan Hans suara itu tidak pernah kedengaran lembut. Berbeza benar dengan layanan yang diterima abang dan adiknya.


“Nissa dah siap masak, mak. Jomlah kita makan,” ajaknya. Nada suaranya masih tetap lembut. Puan Amina merengus. Kadangkala dia geram dengan sikap anaknya itu. Masih menjaga bahasa walaupun dia berkasar.


“Kau makanlah dulu. Kejap lagi aku datang.” Hans tersenyum. Sekurang-kurangnya emak mahu menyentuh makanan yang dimasaknya. Itu sudah membuatkannya berpuas hati. Mungkin dia dibenci tetapi emak dan ayah tidak pernah menolak makanan yang dimasaknya.


***

KAKI Hannedda yang sedang enak tidur ditariknya. Geram betul dia dengan perangai si adik yang suka membuta hingga matahari tegak di atas kepala. Adiknya yang masih mamai mengomel-ngomel marah apabila tidurnya diganggu.


“Bangunlah, Nedda. Tengah hari rembang pun tak nak bangun lagi,” marah Hans. Kali ini selimut yang membungkus Hannedda ditariknya. Gadis itu menggeliat malas.


“Angah ni... orang nak tidurlah. Ngantuk ni,” rungut Hannedda. Geram betul. Emak langsung tidak kisah dia hendak membuta hingga ke petang sekalipun. Kakaknya pula yang melebih-lebih.


“Tidur pukul berapa semalam?” Hans menyoal Hannedda dengan rasa tidak puas hati. Dia tidak suka dengan sikap pemalas adiknya itu. Ikut perangai alonglah ni.


“Alah, orang balik lambat semalam.”


“Mak kata Nedda tidur rumah kawan semalam. Yang balik lewat malam, apasal? Awak tu perempuan. Ingat sikit.”


“Mula-mula memang ingat nak tidur rumah Mimi tapi tak jadilah pulak. Orang ikut kelas tarianlah, angah,” jawab Hannedda dengan mata masih terpejam rapat. Berat sungguh untuk membuka mata. Tangannya terkapai-kapai mencari selimut yang sudah ditarik Hans tadi.


Pantas Hans mengambil selimut itu lalu dilipatnya. “Dah... jangan nak mengada-ngada. Bangun! Pergi mandi, lepas tu kita makan.”


“Hisy, angah ni kacaulah! Angah masak apa?” Tiba-tiba terasa lapar pula perut Hannedda. Hans sudah tersenyum dengan gelagat adiknya. Kalau sebut bab makan memang senang untuk mengumpannya keluar sarang.


“Keluar sarang tu dulu, baru tanya bab makan. Cepat pergi mandi. Dah bau hamis satu bilik.”


“Eleh, angah ni over tau. Tak ada berbau pun,” ujar Hannedda sambil mencium ketiaknya. Tak busuk pun.


“Cepatlah. Nanti habis asam pedas tu!” gesa Hans.


Terasa kecur air liur Hannedda apabila mendengar perkataan asam pedas kegemarannya. “Angah simpanlah sikit untuk Nedda. Jangan biar ayah habiskan. Ayah tu bukan tahu ingat orang belakang kalau dah dapat asam pedas,” pinta Hannedda lembut. Lambat-lambat dia bangun dari katil. Terasa sayang benar untuk meninggalkan tilam empuk kesayangannya itu. Siang hari membuta, malam hari ke kelas menari. Itu sahajalah kegiatan hariannya. Dia amat meminati seni tarian. Hasratnya ingin menjadi penari terkenal suatu hari nanti.


“Samalah Nedda tu. Like father like daughter. Pergilah mandi cepat. Nak bergerak pun punyalah lembap,” bebel Hans.


“Iyalah. Orang nak mandilah ni. Angah ni kuat membebel. Mak pun tak boleh lawan angah tau,” kutuk Hannedda. Tuala kuning yang tersidai di ampaian dicapainya.


Hans membaling sebiji bantal ke arah adiknya. Geram sungguh dia melihat pergerakan adiknya yang terhegeh-hegeh itu. Sempat lagi membelek wajah di cermin pula tu.


“Adoi, sakitlah angah,” adu Hannedda sambil menggosok-gosok punggungnya yang terasa sengal.

Tergeleng-geleng Hans dengan gelagat adiknya itu. Tangannya pantas mengemas katil yang sudah berselerakan dikerjakan Hannedda. Harap muka sahaja cantik tapi langsung tak pandai mengemas.


***

“NANTI angah balik sini tak lepas habis exam?” Soalan Hannedda hanya dibalas dengan senyuman. “Angah ni... orang tanya dia senyum pulak. Angah balik tak nanti?”


“Tengoklah dulu. Kalau boleh angah nak terus cari kerja kat sana.”


“Baliklah sini dulu. Takkan tak balik langsung?”


“Alah... tengoklah. Ada masa nanti angah baliklah. Tak pun Nedda aje naik KL jumpa angah. Bukan jauh pun,” ujar Hans sekadar untuk memuaskan hati adiknya. Dia sememangnya sayang adik nan seorang itu. Hanya Hannedda seorang di dalam rumah itu yang melayannya dengan baik.


“Tak payah balik sini. Lepas habis ni terus cari kerja kat sana. Kalau balik sini bukan boleh menguntungkan aku pun,” sampuk Puan Amina. Hans hanya memandang wajah emak. Entah bila emak sudah berdiri di tubir pintu bilik mereka. Secebis senyuman dilemparkan kepada Puan Amina.


“Mak ni... tak baik cakap macam tu kat angah. Nedda suka kalau angah balik sini,” bentak Hannedda. Sememangnya dia geram dengan sikap emak yang tidak pernah sukakan kehadiran Hans. Dia tidak tahu kenapa Puan Amina membenci Hans. Apa yang kurang agaknya pada kakaknya hingga kehadiran kakaknya langsung tidak disenangi? Hanslah yang paling rajin di dapur dan sangat mendengar kata. Tetapi anak itulah yang dipandang sepi, malah dibenci. Kadangkala hatinya belas melihat layanan emak terhadap kakaknya.


“Nedda...” tegur Hans. Dia tidak suka Hannedda berkasar dengan emak mereka. Siapalah mereka sebagai anak hendak memarahi seorang ibu? Tentu emaknya terasa hati dengan kelakuan Hannedda.


“Angah ni... baik sangat,” rungut Hannedda.


Puan Amina sudah menjeling geram ke arah Hans. Disebabkan anak tidak tahu diuntung itu, Hannedda sudah berani melawannya. Hatinya benar-benar sakit namun dia mengunci mulut kerana tidak mahu anak kesayangannya merajuk. Takut tersilap kata, Hannedda akan memarahinya.


“Nedda...” Tegas nada suara Hans menegur adiknya.


Hannedda menarik muka cemberut, tidak puas hati dengan sikap kakaknya. Hans merapati emak. Diraih tangan tua itu lalu dicium sayang. “Mak, Nissa mintak ampun dan maaf. Nissa nak mintak restu mak. Mak doakan Nissa boleh jawab exam nanti, ya?”


“Hmm...” Hanya itu yang terluah daripada bibir Puan Amina, namun sudah cukup untuk membuat hati Hans tenang untuk menduduki peperiksaan nanti. Dia tersenyum puas. Sekurang-kurangnya emak tidak pernah mendoakan kegagalannya. Itu sudah cukup.


“Mak, Nissa balik dulu. Lepas exam nanti Nissa terus cari kerja kat KL. Nanti bolehlah tolong mak. Mak jangan risau. Bila Nissa dah berjaya nanti, kita tak payah hidup susah macam ni lagi.” Kalau emaknya mahu dia bekerja di Kuala Lumpur, dia akan memenuhi hasrat itu. Betul juga kata emak. Untuk apa dia pulang ke kampung kalau dia boleh terus mencari kerja di Kuala Lumpur setelah habis belajar? Dia akan pulang juga nanti. Pulang dengan kejayaan.


“Hmm... eloklah kalau kau ingat. Jangan pulak nanti dah senang dah tak ingat kat aku,” tukas Puan Amina. Hans hanya mengangguk. Tiada bicara yang terungkap. Dia hanya memandang emak berlalu dari bilik mereka.


“Angah kalau dah kerja nanti jangan lupa balik kampung. Balik tu bawak duit banyak-banyak. Boleh belanja Nedda.” Hannedda sudah tersengih-sengih macam kerang busuk.


“Amboi... amboi... belum apa-apa, berangannya dah lebih. Sini! Salam angah,” bidas Hans. Hannedda menyalami kakaknya lalu pipi itu dicium penuh hormat dan kasih.


“Jangan nakal-nakal. Tolong-tolonglah mak kat dapur tu. Kesian kat mak. Mak dah tua. Lepas tu, jangan nak merayap sampai lewat malam. Awak tu anak dara, tau?” Berjela-jela pesanan yang disampaikan Hans kepada adiknya. Hannedda sudah menjulingkan matanya. “Ni apasal pulak? Juling betul mata tu, baru tau!”


“Peninglah dengar angah berleter,” rungut Hannedda.


Hans menarik muka. “Hisy, budak ni! Orang cakap sikit dia kata kita berleter. Geram betul,” omel Hans perlahan namun jelas di pendengaran Hannedda membuatkan gadis mentah itu ketawa mengekek.


“Yalah, angah. Angah tu memang kuat berleter macam mak nenek. Patutlah sampai sekarang tak ada laki nak,” usik Hannedda. Dia memang suka mengusik kakaknya itu.


“Tolong sikit... Bukan sebab lelaki tak nak, tapi sebab angah yang tak nak. Lainlah awak tu menggatal aje lebih.”

“Angah ni... orang kutuk dia, orang yang kena balik,” tukas Hannedda tidak puas hati. Hans sekadar tersenyum mendengar omelan adiknya. Jam di tangan dikerlingnya. Sudah pukul 2.00 petang. Dia perlu bergerak sekarang. Kalau tidak, dia akan ketinggalan bas.


“Angah gerak dulu. Nedda, kirim salam kat ayah nanti. Lagi satu ingat pesan angah tadi.” Masih sempat lagi Hans memberikan amanat terakhir kepada Hannedda.


“Angah pun jaga diri elok-elok.” Hannedda tersenyum manis dengan kata-kata itu lalu mengangkat beg pakaian Hans menuju ke kereta yang sedang menanti.


Kelibat emak langsung tidak kelihatan. ‘Tak apalah. Sekurang-kurangnya aku dah dapat restu mak tadi.’ Hans memujuk hati sendiri. Memang sudah begitu sikap Puan Amina. Tidak pernah menghantar Hans ke muka pintu ketika gadis itu hendak pulang ke kampus.


Hannedda mengekori langkah Hans. Dipandang wajah itu lama. Hans selalu kelihatan selekeh. Entah bila akan berubah. Namun di sebalik penampilan Hans itu, terselindung wajah yang mampu menarik hati lelaki. Angah! Angah! Dia sekadar membalas lambaian kakaknya yang semakin hilang daripada pandangan.



Bab 10



MAHU ketawa Hans dengan gelagat Wawa yang terkebil-kebil melihat nota tebal di atas meja. Sudah mengantuk agaknya. Sesekali tangan Wawa ligat menenyeh mata yang sudah berair menahan kantuk. Begitulah sikap temannya yang seorang ini. Kalau masuk bab mengulang kaji, cepat benar mata tu hendak tertutup. Yati dan Beton telah lama ke perpustakaan, sedari pagi lagi. Tidak mahu belajar di bilik kononnya. Takut dengan tilam dan bantal yang memanggil.


“Ehem... ehem... Yang kau tersengih-sengih, kenapa?” Wawa menegur Hans. Sedari tadi dia perasan Hans yang sedang tersengih-sengih memandangnya.


“Pergi basuh muka tu, Wa. Kalau asyik tengok nota tu tapi muka suratnya langsung tak berubah, buat apa? Sampai esok pun tak habis,” bidas Hans. Bukan dia tidak perasan sedari tadi lagi Wawa hanya menatap muka surat yang sama. Langsung tidak berubah.


“Alah... aku baru tenung sikit aje ni kau dah sibuk. Aku mengantuklah, Hans. Macam mana kau study, erk? Cekang aje mata kau tu. Kau tak ngantuk ke?”


“Aku cukup tidur, memanglah tak ngantuk. Kau tu yang study sampai ke malam buta, apasal?” tukas Hans.

Wawa menarik muka.


“Kau tak apalah senang faham. Aku ni berkulat tau otak aku nak faham benda alah ni. Ni semua salah mak aku. Paksa aku ikut jejak dia ambil akaun jugak.”


“Kalau kau tak nak ambil akaun, kau nak ambik course apa pulak?”


“Kalau ikutkan hati, aku nak kahwin aje. Malas dah aku nak fikir pasal belajar ni. Kan best kalau dapat kahwin dengan Amin? Bahagianya hidup,” ujar Wawa dengan muka yang sudah bersinar bahagia. Mungkin sedang terbayang dirinya di atas pelamin dengan buah hati pengarang jantung.


Berkerut dahi Hans dengan jawapan itu. “Huh, eloklah mak kau paksa kau belajar. Ada ke cita-cita nak kahwin aje. Hello, miss. Sekarang dunia dah moden, tau? Bukan macam zaman dulu-dulu lagi. Habis sekolah terus boleh kahwin. At least, must be a degree holder first. Baru mak bapak kasi lesen nak kahwin,” katanya.


“Okey apa kahwin? Kahwin dengan Amin pulak tu. Daripada aku pening fikir pasal akaun yang aku tak pernah faham sejak diploma, lagi baik aku kahwin dengan Amin,” tokok Wawa, langsung tidak peduli dengan kutukan Hans tadi. Rindu mula bertamu di hatinya. Tiap kali menyebut nama jejaka itu hatinya berbunga rindu. Sudah seminggu mereka tidak bersua sejak peperiksaan bermula. Tiada kesempatan.


Walaupun Hans tidak setuju dengan kata-kata Wawa, namun dia mengerti perasaan temannya itu. Kalau sudah bercinta dari bangku sekolah, apa lagi yang hendak ditunggu lama-lama? Zaman sekolah bersama, masuk universiti yang sama juga. Sememangnya jodoh antara Wawa dan Amin cukup kuat. Kalau boleh Hans juga ingin begitu. Bukan dia tidak pernah melihat Wawa keluar dengan Amin. Gelagat mereka mampu membuatkan orang lain cemburu.


“Iyolah kau tu. Tak lari punya Amin tu dikejar. He’s loyal. Only for you. Habis belajar ni kau terus nak kahwinlah kalau macam tu?”


“Kau pulak macam mana?”


“Aku? Calon pun belum ada. Yang penting cari fulus dulu. Well, I need to build my career first,” balas Hans.


“Eleh, kau tak payah risau. Confirm EY minta kau kerja dengan diorang balik. You are an asset for that company,” tingkah Wawa. Dia berani kerat jari bahawa syarikat tempat Hans menjalani latihan praktikal dahulu akan mengambil Hans bekerja dengan mereka.


“Diorang dah hantar surat pun kat aku. Hari tu diorang call tanya bila aku habis exam. Diorang nak akustart kerja secepat mungkin.”


“Kau tak bagitahu aku pun. Sampai hati,” tukas Wawa agak berkecil hati dengan Hans yang sememangnya suka berahsia.


“Alah, aku malaslah nak kecoh-kecoh. It’s not a big deal.


“Kau ni kan... eeii... aku kadang-kadang geram dengan kau. Suka sangat berahsia. Suka sangat simpan semuanya dalam selimut. Apasal kau tak pernah cerita masalah kau kat kitorang?”


“Masalah apa pulak ni?” Hans sekadar berdalih. Tidak mungkin dia akan menceritakan kepada sesiapa pun tentang masalah hidupnya. Biar semuanya terkunci rapat. Biar hanya dirinya dan ALLAH sahaja tahu apa yang dilaluinya. Sudah cukup. Orang lain tidak perlu tahu.


“Takkanlah kau tak pernah ada masalah dalam dunia ni. Semua orang ada masalah. Takkan kau aje yang tak ada?”


“Kau ni mengarutlah, Wa. Pasal offer EY tu aku belum tentu nak terima atau tak. Aku macam nak tolak aje. Boringlah jadi auditor. Aku nak jadi accountant. Auditor doesn’t suit me.” Hans segera mengalih topik. Dia tidak mahu Wawa terus melalut tentang masalah hidupnya.


“Kau biar betul? Ruginya. Besar kot gaji kat EY tu.”


Accountant pun sodap jugak gajinya. Ikut syarikatlah. Lagi besar syarikat tu lagi banyaklah gaji dia bagi. Aku nak belajar selok-belok syarikat. One day I want to build my own company,” jelas Hans. Dia hanya tersenyum melihatkan Wawa sudah terlupa tentang topik kehidupannya.


***

SORRY... sorry,” ucap Hans kalut. Tangannya ligat mengutip kalkulator dan nota yang sudah bertaburan dek terlanggar dengan lelaki di hadapannya. Semuanya kerana ingin mengejar teman-temannya yang sudah jauh di hadapan.


Keluar sahaja dari dewan peperiksaan tadi dia berselisih dengan Puan Normah, pensyarahnya lalu dia sempat lagi bersalaman dengan pensyarahnya itu. Peperiksaan sudah tamat. Selepas ini, dia tidak mungkin bertemu dengan pensyarah itu lagi. Jadi dengan kesempatan yang ada, apalah salahnya dia bersalaman buat kali terakhir?


It’s okay,” balas lelaki itu bersahaja lalu tunduk membantu mengutip nota yang bertaburan di atas lantai. “Nah.” Dia menghulurkan nota-nota tadi kepada Hans.


Thanks,” ucap Hans seraya memandang wajah lelaki di hadapannya. Berubah wajahnya seketika. Tidak disangka Bardrizal yang dilanggarnya. ‘Baik pulak mamat ni. Tak marah pun walaupun kena langgar. Hmm, mamat ni tak pernah jahat pun. Aku aje yang tak suka dia sebab sikap dia. Padahal dia tak pernah buat apa pun kat aku.’ Hatinya bertingkah sendiri.


Bardrizal perasan akan wajah gadis itu yang berubah sebaik memandang wajahnya. ‘Pelik ke muka aku ni? Atau betul ke cakap Aiman dengan Rafiq yang minah ni minat kat aku? Bukan suatu perkara yang pelik ada gadis meminatinya.’


Hans tersenyum nipis. “Okeylah... Kawan-kawan dah tunggu tu,” ujarnya terus berlalu tanpa berpaling lagi. Dia tidak betah berada di sisi lelaki itu. Rasa tidak selesa. Hans mendapatkan teman-temannya yang sudah menunggu di dalam kereta. Wawa, Yati dan Beton sudah memandangnya penuh persoalan meminta jawapan.


Sorry. Tadi aku terjumpa Puan Normah. Sempat aku salam dengan dia. Dah last ni, kan?” tutur Hans mendatar memberi jawapan pada persoalan yang bermain di benak teman-temannya itu.


“Bukan tu yang kitorang nak dengar,” tingkah Yati. Berkerut dahi Hans dibuatnya.


“Ingat kitorang tak nampak ke kau sempat lagi dating dengan Bard tadi,” sampuk Wawa. Buntang mata Hans mendengarnya. Dating? Bila masa pula ni?


“Apalah yang korang mengarut ni. Entah apa-apalah korang ni,” bidas Hans geram. Suka benar mereka cerita.


“Kitorang belum buta lagi, tau? Baik kau cerita kat kitorang ni. Sejak bila kau ada skandal dengan mamat handsome tu? Pandai kau sorok dari kitorang, erk?” Beton pula menokok. Pandai benar mereka mengarang cerita. Sudah boleh menjadi penulis novel ni. Baru tengok satu babak perlanggaran sudah cerita tentang skandal.


“Aduh, korang ni... Aku terlanggar mamat tu tadi waktu nak kejar korang yang dah tak sabar-sabar nak balik,” jelas Hans. Lebih baik dia menceritakan yang sebenarnya sebelum lebih banyak spekulasi yang dibuat.


“Jadi, tak ada skandallah ni?” Yati menyoal bodoh. Hans menarik nafas untuk menenangkan dirinya. Geram betul. Namun hendak ketawa pun ada melihat wajah mereka yang jelas kelihatan hampa dengan penjelasan yang diberi.


“Mana adalah? Korang aje yang memandai buat cerita,” tegas Hans.


“Aduh, kecewa betul aku. Baru nak syok kawan aku couple dengan anak Tan Sri,” keluh Beton.


“Buang masa aje. Kitorang punyalah excited tadi bergosip. Ingat kau skandal dengan dia,” celah Wawa. Hans tersenyum sumbing mengenangkan perangai teman-temannya. Macam-macam!


“Dahlah tu janganlah kuciwa sangat. Kalau korang nak sangat aku couple dengan mamat tu, nanti aku mengurat dia, okey?” pujuknya, serius.


“Banyaklah kau,” serentak Wawa, Yati dan Beton berkata. Hans hanya tersengih-sengih. Tanpa banyak soal mereka masuk ke dalam kereta. Malam nanti mereka akan keluar beramai-ramai untuk meraikan tamatnya alam kuliah mereka. Selepas ini masing-masing akan membawa haluan sendiri.


***

BENJI yang sudah menanti di pintu pagar masuk ke Kolej Melati melemparkan senyuman manis kepada gadis yang dinantinya. Gadis ini memang sempoi. Nak keluar pun pakai sempoi saja. Selekeh macam biasa. Tak ada kelainan langsung. Kalau gadis lain, pasti sudah beria-ia menempek mekap di muka. Pakaian pula feminin habis. Sayangnya Hannissa Amsyar tidak begitu. Dia sahaja yang perasan sedangkan gadis itu tidak menganggap begitu.


“Lama ke kau tunggu?” tanya Hans.


“Taklah. Aku baru sampai ni,” balas Benji.


Hans terpandang sebuah kereta di sisi Benji. “Kereta siapa pulak kau rembat kali ni? Selalu kau pinjam Kancil Basri,” soalnya lalu memboloskan diri ke dalam perut kereta.


Benji terus menghidupkan enjin kereta. “Kereta mak aku. Nak bawa balik barang punya pasal, terpaksalah letak RXZ aku dulu kat Ipoh,” jelas Benji. Selalunya jika dia hendak keluar dengan Hans, Kancil milik Basri, teman serumah akan dikebasnya memandangkan dia hanya mempunyai motosikal sahaja.


“Kau ni kan, nak dating dengan aku tak dress up langsung. Macam mana kau pergi kelas, macam tulah kau keluar,” usik Benji. Matanya tertumpu pada pemanduannya. Bawa anak dara orang kenalah berhati-hati. Gadis di sebelahnya kini adalah tanggungjawabnya.


Hans menjeling Benji yang segak dengan T-shirt hitam berkolar dan jean hitam. Benji tetap kacak walau apa jua yang dipakainya. Kadangkala perbezaan antara Benji yang kacak dengan dirinya yang selekeh membuatkannya agak malu untuk berdampingan dengan pemuda itu. Namun ini hanya untuk sementara. Dia akan berubah. Tidak lama lagi dia akan berubah menjadi gadis yang tahu menjaga penampilan diri.


Dating? Dengan kau? Kau ni kan...”


“Apa salahnya dating dengan aku? Lagipun kau mana pernah ada date dengan mamat lain. Dengan aku aje, tau?” potong Benji. Bukan senang hendak mengajak gadis di sebelahnya itu keluar begini. Kalau setakat melepak di kedai makan memang selalu dan kebanyakannya melibatkan urusan persatuan. Kerap kalinya Hans menolak mentah-mentah ajakan untuk keluar menonton wayang. Kalau 20 kali dia mengajak, hanya sekali yang diterima.


Kali ini pun Hans menerima pelawaannya kerana selepas ini mungkin mereka akan membawa haluan masing-masing. Benji tersenyum sendiri. Haluan mereka akan bertembung kembali suatu hari nanti. Dia tidak akan biarkan persahabatan ini terputus di tengah jalan setelah mereka masuk ke alam pekerjaan. Dia akan menguatkan lagi hubungan mereka dengan suatu ikatan yang tidak dapat diputuskan di dunia dan akhirat. Senyumannya semakin melebar.


“Hoi, yang kau senyum sorang-sorang ni apasal? Kau jangan nak fikir bukan-bukan pulak. Kita keluar ni tak dikira dating, okey? Aku kalau nak dating, dengan pakwe aku aje, tau?” sergah Hans. Pelik dengan perangai Benji yang tiba-tiba tersenyum sendirian.


“Kau anggap aje aku ni pakwe kau. Habis cerita,” sakat Benji. Dia sudah ketawa melihat wajah cemberut Hans. Tak puas hatilah tu.


“Eeii... ada jugak kena debik dengan aku karang,” omel Hans. Matanya merenung tajam wajah kacak itu. Lelaki di sebelahnya ini memang suka menyakatnya begini. Tak habis-habis mahu menjadi kekasihnya. Kalau benar lelaki itu punya hasrat sebegitu, mungkin boleh dipertimbangkan. Namun dia tahu lelaki itu sekadar suka bergurau. Hisy, bergurau tak kena tempat!


“Kita nak lepak mana ni?” tanya Benji.


“Ikut kaulah. Kau yang ajak, kaulah pilih.”


“Kalau macam tu, kita lepak kat OUlah.” Hans mengangguk setuju. Benji terus memecut kereta comelnya menuju destinasi yang diingini.


***

BEST jugak cerita tadi. Ganas betul,” komen Benji sebaik sahaja mereka keluar dari panggung wayang.

“Cerita tu memang thrill habislah bagi aku. Tak sangka pun macam tu ending dia. Unpredictable,” tokok Hans setuju dengan pendapat Benji. Tidak rugi dia mengikut Benji kali ini.


Wajahnya kelihatan begitu ceria. Dia sudah tidak sabar-sabar untuk memulakan langkah baru. Pengajiannya telah tamat. Kini dia hanya menanti keputusan. Dan dia amat yakin dia tidak akan gagal. Dia sudah berusaha sehabis baik. Selebihnya dia hanya bertawakal pada ALLAH.


“Kita makan dululah sebelum balik.”


Cadangan Benji itu ibarat pucuk dicita ulam mendatang buat Hans. Sedari tadi lagi dia sudah kebuluran. Benji dengan selamba menarik tangan Hans menuju ke restoran Nando’s. Dia tidak mahu Hans menolak untuk makan di tempat yang mahal. Oleh itu lebih senang terus mengheret gadis itu daripada berbincang hendak makan di mana. Bukan mahal sangat pun kalau makan di situ. Itulah susahnya berkawan dengan bakal akauntan. Setiap sen dikiranya. Setiap tempat dikatanya mahal.


Hans mengerling ke arah tangannya yang sudah berada di dalam genggaman Benji. Suka hati lelaki itu sahaja memegang tangannya. “Helo, cik abang. Bagi balik tangan aku tu, boleh tak?” Benji hanya tersengih-sengih lalu melepaskan tangan kecil molek milik temannya itu daripada genggaman.


‘Takut aku tak nak makan kat sinilah tu,’ getus hati Hans. Dia malas hendak membantah. Sebenarnya, dia tidak kisah mengeluarkan sedikit duit untuk masa-masa terakhir ini. Selepas ini entah bila mereka dapat berjumpa lagi. Kalau sudah sibuk dengan kerja nanti, peluang untuk bertemu semakin tipis.


***

“HANS,” panggil Benji lembut. Dia merapati gadis itu yang baru hendak melangkah menuju ke pintu masuk Kolej Melati. Jam sudah menunjukkan angka 9.00 malam. Dia punya prinsip sendiri. Tidak suka membawa pulang anak dara orang tika lewat malam. Tak manis dipandang orang.

'

“Ada apa?” Hans agak pelik dengan sikap Benji hari ini. Lain macam benar layanan lelaki itu terhadapnya. Agak lembut sikit. Tak macam selalu. Kasar sahaja. Agaknya lelaki itu berat hati dengan perpisahan ini. Bukan hendak berpisah selamanya pun. Cuma mereka tidak akan selalu melepak bersama lagi.


Dia pasti akan merindui sahabatnya itu. Satu-satunya sahabat lelaki yang rapat dengannya. Dia tidak punya ramai sahabat. Kenalan memang ramai tetapi sahabat adalah berbeza. Begitupun, dia tetap memendam segala kisah dukanya dari sahabat-sahabatnya.


Benji merenung wajah itu lama hingga membuatkan Hans terasa tidak selesa. Pelik betul. Tangan Hans diraihnya. Hans sedikit tersentak dengan tindakan itu. Bertambah-tambah pelik sikap lelaki ini. Dia tersenyum nipis.


“Hans... tunggu aku. Tunggu aku berjaya. Bagi aku masa dan aku akan datang untuk kau,” bisik Benji syahdu.

Hans terkedu. Bibirnya terkunci rapat. Tidak tahu apa yang hendak diucapkan. Adakah Benji sekadar bermain kata atau kata-kata itu sememangnya punya maksud yang mendalam?


Benji terus merenung ke dalam anak mata gadis itu. Mungkin mengharapkan jawapan. Dia benar-benar berharap Hans akan menantinya.


“Err... Ben aku masuk dululah.” Akhirnya terluah juga kata-kata daripada mulut Hans. Benji hanya mengangguk. Namun belum sempat Hans melangkah, tangannya diraih sekali lagi. Gadis itu berpaling, memandang wajah itu meminta penjelasan. Benji meletakkan bungkusan sederhana besar di atas telapak tangannya.


“Untuk kau,” ucap Benji lembut.


“Tapi untuk apa?”


“Kau akan faham nanti.” Hanya itu jawapan daripada Benji.


Malas hendak memanjangkan kata, Hans memilih untuk menerima sahaja pemberian tersebut. Apalah salahnya menerima hadiah dari seorang teman?


Benji merenung wajah itu lama sebelum kembali ke keretanya. Dia akan merindui wajah itu. Wajah skema dan selekeh itu akan menghantui mimpinya. Kalau sudah menjadi miliknya nanti, dia akan hiaskan gadisnya dengan pakaian yang bersesuaian dengan tubuh kecil molek itu. Bukan pakaian lusuh seperti itu. Benji tersenyum lebar dengan impiannya itu. Dia terus memecut kereta membelah angin malam. Hans, tunggu aku!



Bab 11


MASA berlalu begitu pantas sekali. Sedar tidak sedar, tiga tahun sudah berlalu. Berlalu begitu sahaja. Terasa baru semalam dia meniti kehidupan sebagai seorang pelajar. Masih terlalu segar di ingatan, namun zaman itu sudah berlalu. Dan kini dia sudah mampu berdiri di atas kaki sendiri dengan megah dan bangga. Dia sudah mampu meneguk manisnya kejayaan hari ini.


Dalam usia yang masih muda dia sudah mampu menyandang jawatan yang memerlukan bertahun-tahun pengalaman. Semuanya kerana semangat dan minat yang mendalam juga keyakinan yang teguh. Untuk mendapatkan sesuatu yang kita mahukan, kita perlulah pandai meyakinkan orang. Dan untuk meyakinkan orang lain perlu tersemat keyakinan yang utuh di dalam diri terlebih dahulu.


Sudah setahun dia menyandang jawatan sebagai pengurus projek di RZQ Corporation. Dua tahun yang lalu dia tekad meninggalkan jawatannya sebagai eksekutif akaun di sebuah firma akaun terkemuka untuk mencuba sesuatu yang baru. Dia mahu maju selangkah kehadapan. Dia mahu mencuba kelainan. Dia ingin belajar lebih mendalam tentang dunia perniagaan.


Dia masih ingat bagaimana dia mencuba nasib untuk diterima masuk sebagai warga kerja di RZQ Corporation.


***

“MASUK!” Suara dari dalam menyuruhnya masuk. Hans melangkah penuh yakin ke dalam bilik itu. Debar di dada mula terasa. Dia tidak perlu gemuruh di kala ini. Dia sekadar mencuba nasib. Jika gagal kali ini dia tidak akan mengalah. Dia akan terus bangun. Gagal sekali bukan bermakna gagal selamanya. Ditolak kali ini bukan bermakna ditolak selamanya.


Hans mengukir senyuman yang paling manis buat lelaki separuh abad yang sedang duduk bersandar di kerusi empuk. Tanpa disuruh, dia duduk di kerusi berhadapan dengan lelaki itu. Lelaki yang sudah layak dipanggil ayah olehnya. Fail mengandungi resume dan dokumen-dokumen penting tentang dirinya diletakkan di atas meja untuk rujukan.


I don’t expect a young girl like you to be here,” ucap Tan Sri Rizqi lembut. Sememangnya dia tidak menduga gadis semuda ini akan datang untuk ditemu duganya. Dia mengharapkan orang yang lebih berpengalaman. Malah telah dinyatakan di dalam syarat-syarat kelayakan bahawa jawatan yang ditawarkan memerlukan orang yang berpengalaman. Gadis muda di hadapannya ini sudah tentunya tidak punya pengalaman seperti yang dimahukannya.


Well then, it’s a surprise for you to have me here,” balas Hans bersahaja. Dia amat jelas tentang syarat-syarat kelayakan untuk jawatan yang dipohonnya. Namun itu tidak menghalangnya untuk mencuba nasib.

Tan Sri Rizqi sudah tersenyum lebar dengan lagak bersahaja gadis manis di hadapannya itu. Sangat muda dan sangat berkeyakinan. Dia sukakan keyakinan gadis itu.


So, what should I call you?


My name is Hannissa Amsyar binti Hamdan. You can call me Hans,” jawab Hans lembut penuh ketegasan.


“Kamu tentu sedar yang syarikat ini perlukan calon yang berpengalaman. Maksud saya calon yang lebih tua daripada kamu.” Tan Sri Rizqi memandang gadis manis di hadapannya tanpa berkelip. Sekadar untuk menduga keyakinan gadis itu. Dia ingin melihat sama ada keyakinan gadis itu mampu digugatnya. Sepatutnya dia tidak perlu turun padang untuk menemu duga calon-calon yang telah disenarai pendek. Jawatan ini sangat penting baginya lalu dia mahu memilih sendiri orang yang layak.


“Kadangkala usia dan pengalaman tak mendatangkan perbezaan selagi kita mampu memberikan yang terbaik dalam setiap tugasan yang diberikan. It’s just the matter of your ability to be outstanding than others. Selagi saya mampu menyumbangkan sesuatu kepada syarikat, saya percaya saya akan dianggap sebagai aset dalam syarikat ni,” tutur Hans yakin. Dia sedar dengan siapa dia berdepan sekarang. Tan Sri Rizqi merupakan pemilik RZQ Corporation. Sangat disegani di dalam dunia korporat. Namun itu tidak membuatkannya gentar. Dia mahukan peluang keemasan ini. Jika dia diterima, peluangnya untuk belajar daripada insan hebat di hadapannya itu amat cerah.


Tan Sri Rizqi tersenyum. Setakat ini semua calon yang ditemu duganya tidak mencapai tahap yang dimahukannya. Pengalaman mungkin cukup tetapi keyakinan dan cita-cita mereka tidak cukup tinggi. Gadis di hadapannya mungkin tidak berpengalaman, namun punya keyakinan yang tinggi. Malah daripada sinar mata itu, terpancar cita-cita yang menggunung.


Resume Hans dibeleknya lama. Lelaki itu tersenyum lebar. “Kamu tentu kenal anak saya memandangkan kamu ni bekas pelajar UiTM Shah Alam. Kamu ni kawan dia ke?”


Hans sudah mengagak soalan itu yang akan diutarakan. Masakan dia tidak kenal pemuda pemalas itu. Nyata mereka bukan berkawan. Mana mungkin dia akan berkawan dengan lelaki pemalas dan tidak berwawasan seperti itu?


“Your son is my former classmate. But I never been his friend. We are in different level,” jawab Hans lembut. Ya, mereka berbeza dari segala segi. Dia bijak tetapi miskin manakala Bardrizal kaya tetapi pemalas.


Hmm, I wonder...” Tan Sri Rizqi tertanya-tanya kenapa anak bujangnya itu tidak mendekati gadis cantik yang sedang duduk berhadapan dengannya. Setahunya, Bardrizal pantang nampak perempuan cantik. Pasti akan didekatinya. Ibarat lebah mencari madu. “When you can start?


Soalan Tan Sri Rizqi itu membuatkan hati Hans berbunga-bunga, gembira. Mahu sahaja dia melompat-lompat saat ini. “Bila-bila masa saja, Tan Sri. Saya berbesar hati dapat berkhidmat untuk Tan Sri,” balasnya dengan senyuman lebar. Matanya bersinar galak. Saat ini hatinya memanjat syukur dengan rahmat yang diberikan ALLAH kepadanya.


Then, next week should be fine,” noktah Tan Sri Rizqi.


***

SENYUMAN lebar bermain di bibir Hans mengenangkan kisah setahun lalu. Dia sudah berada di tahap yang selesa kini dengan pendapatan yang lumayan. Bekerja di syarikat besar, gajinya pun besar. Bekerja di RZQ Corporation memberikannya ruang yang cukup selesa untuk bernafas. Dia tidak perlu lagi menghidu sisa-sisa toksik. Setiap udara yang dihirupnya sungguh mendamaikan. Tidak lagi terasa keperitan hidup yang lalu.


Dia sudah boleh berbangga kini kerana dia mampu memberikan emak dan ayahnya tempat berteduh yang sempurna. Tidak perlu lagi hidup menyewa di rumah usang. Dia juga telah membelikan kereta buat ayahnya supaya senang untuk bergerak ke mana-mana. Biarlah kapcai tua milik ayah tersadai di rumah. Hanya digunakan sesekali bila ayah mahu ke masjid.


Hannissa Amsyar sekarang sudah berbeza daripada Hannissa Amsyar yang dulu. Penampilannya nyata berbeza. Sejak memasuki alam pekerjaan, Hans sudah mengubah penampilannya. Daripada gaya yang selekeh, kini menjadi gadis yang sofistikated. Hans sedar untuk mendapatkan kepercayaan majikan, dia perlulah pandai menjaga diri sendiri terlebih dahulu. Bagaimana majikan akan menaruh kepercayaan terhadap dirinya hendak menjaga penampilan diri sendiri pun tidak tahu.


Ruang pejabatnya dipandang lama. Semua susun atur di dalam bilik pejabatnya mengikut cita rasa Tan Sri Rizqi. Lelaki itu yang beria-ia mahu mengubah susun atur bilik itu bersesuaian dengan cita rasa seorang gadis kerana sebelum ini pejabat itu dihuni oleh pengurus lelaki. Lelaki separuh abad itu sudah dianggap sebagai bapanya. Lelaki itu begitu baik dengannya. Dia dilayan seperti anak sendiri.


Hans bersandar selesa pada kerusi empuknya. Dia sentiasa bersyukur dengan nikmat yang dikurniakan oleh-NYA. Baginya, apa yang diberikan kepadanya adalah satu pemberian yang tidak terhingga. Dia bersyukur kerana sentiasa dimurahkan rezeki. Pintu rezeki seolah-olah sentiasa terbuka untuknya. Setiap pekerjaan yang dilakukannya sentiasa membuahkan hasil. Lalu dia tidak pernah lupa untuk mensyukuri nikmat yang diberi. Dia tidak akan pernah lupa diri. Jika hari ini DIA memberi tidak mustahil DIA akan mengambilnya kembali. Dia sedar akan hakikat itu.